Peges

Friday, June 17, 2011

Perodua Myvi Standard & Premium – spesifikasi dan harga


Selain daripada varian Elegance, Perodua Myvi 2011 baharu juga didatangkan dengan dua varian lain pada harga yang lebih berpatutan, Standard dan Premium. Perodua Myvi Standard mempunyai dua versi SX dan EZ manakala Myvi Premium tampil dengan versi SXi dan EZi, kedua-duanya tersedia pilihan gear manual 5 kelajuan dan automatik 4 kelajuan. Enjin K3-VE yang digunakan masih sama seperti model Myvi terdahulu, tetapi dengan talaan yang berbeza untuk disesuaikan dengan kerangka dan badan Myvi baharu.

Varian Standard dan Premium mempunyai beberapa perbezaan dari segi rekaan eksterior dan interior. Contoh pertama di bahagian eksterior ialah Myvi Standard tidak didatangkan dengan rim aloi berbanding Premium, sebaliknya menggunakan rim besi dengan penutup plastik.

Saiz rim dan tayar bersaiz 175/65 R14 standard, sama seperti Elegance. Myvi Premium juga mempunyai ciri lebih mewah di bahagian cermin sisi yang kini boleh dilipat secara elektronik, memberi kelebihan untuk masuk ke ruang sempit ketika meletak kereta.

Varian standard juga tidak dilengkapi lampu kabus seperti Premium dan kedua-duanya tidak dilengkapi kit badan penuh seperti Myvi Elegance, kecuali Myvi Premium dilengkapi spoiler belakang sporty. Lampu utama kedua-dua varian merupakan rekaan terbaru, dari jenis projektor yang lebih bergaya dan menarik, begitu juga lampu belakang rekaan baru berkombinasi yang menyerlahkan pandangan dari belakang.

Bahagian dalam memperlihatkan papan pemuka dengan dua tona warna, gelap di bahagian atas dan cerah di bahagian bawah. Panel pintu mempunyai tona warna cerah untuk memberikan kesan lebih luas ruang kabin. Kusyen dilengkapi fabrik gred standard untuk Myvi Standard dan fabrik gred tinggi untuk Myvi Premium.

Kusyen kulit hanya tersedia untuk Myvi Elegance. Papan pemuka masih sama untuk kedua-dua varian, dilengkapi panel sistem audio menarik lengkap dengan pemain CD/MP3/WMA dan varian Premium mempunyai kelebihan penyambungan USB dan Bluetooth.

Kombinasi meter dengan kesan 3D sememangnya menarik untuk kedua-dua varian, di mana Myvi Standard mempunyai paparan iluminasi warna Amber (kuning) manakala Premium dengan paparan iluminasi warna Turquoise (biru kehijauan). Antara ciri menarik disediakan bersama paparan meter baru ialah penunjuk jumlah petrol yang berada di dalam tangki dan berapa jauh perjalanan yang masih boleh dilakukan, sangat praktikal kepada setiap pemandu.

Kedudukan tuil gear terbaru bagi versi automatik antara perubahan terbaru dari Perodua, di mana kini ianya terletak di posisi papan pemuka, memudahkan pemandu untuk mencapainya, selain terdapat butang kunci dan lepas ( shift lock & release button). Menurut Perodua, walaupun Myvi baharu ini sedikit kompak, ruang kabin masih lagi luas terutamanya ruang kaki penumpang, namun ruang kepala penumpang belakang tidak lagi seluas Myvi lama.

Stereng kuasa kini dilengkapi teknologi terbaru untuk kedua-dua varian iaitu ‘Electric Power Steering’ (EPS), memberi lebih keselesaan dan keseronokan sewaktu memandu malah praktikal pada kelajuan tinggi. Tidak dilupakan beg udara keselamatan standard untuk pemandu dan penumpang depan, namun ciri keselamatan lain seperti ABS, EBD dan BA hanya tersedia untuk varian Premium. Kedua-dua varian dilengkapi sistem penggera dan immobiliser anti pencuri, sistem keselamatan ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak dan pengesan undur (reverse sensor).

Antara bahagian yang sering dibandingkan dengan pesaingnya ialah ruang bonet belakang, kali ini ruang tersebut hanya boleh mengisi barangan seluas 208 liter berbanding Myvi generasi pertama dengan keluasan 225 liter. Jika kerusi belakang dilipat sepenuhnya, ruang pengisian barang-barang meningkat sehingga 595 liter, namun masih berkurangan dari Myvi lama dengan keluasan 630 liter. Isu ruang bonet belakang sebuah kereta bernama Myvi agak sensitif namun kebanyakan pembeli mempunyai alasan-alasan lain untuk memilikinya.

Myvi baharu ini dikatakan lebih kompak berbanding model asalnya, ini boleh dilihat pada saiz panjangnya, di mana versi 2005-2010 dengan kiraan panjang 3,750 mm manakala versi 2011 dengan jarak panjang 3,690mm, berkurangan sebanyak 60mm. Saiz lebar pula pada angka 1665mm dan ketinggian 1545mm, dengan jarak titik roda sebanyak 2440mm. Walaupun sedikit kompak di bahagian luaran, ini tidak memberikan kesan kepada bahagian dalaman, di mana menurut Perodua rekaan Myvi baharu menjadikannya tetap luas dan selesa.

Adakah Myvi baharu ini menjimatkan minyak dan lebih efisien berbanding generasi sebelumnya? Dengan kuasa 90hp dan 117Nm tork, serta berat kering bagi Myvi Standard SX sebanyak 950 kg, EZ 960 kg, Premium SXi 960 kg dan EZi 970 kg, Perodua dengan yakin mengatakan faktor tersebut dengan rekaan badan lebih aerodinamik membolehkan penjimatan petrol sebanyak 4 peratus untuk versi manual dan 15 peratus untuk automatik apabila dibandingkan dengan Myvi versi sebelumnya

Perodua Myvi Standard dan Premium didatangkan dengan pilihan enam jenis warna, antaranya Mystical Purple, Ebony Black, Medallion Grey, Glittering Silver, Pearl White dan Ivory White. Warna Pearl White merupakan cat ‘special metallic’ manakala Ivory White hanya tersedia cat solid. Empat lagi warna kesemuanya menggunakan cat metalik. Namun warna Mystical Purple ketika ini begitu eksklusif, di mana pelanggan hanya boleh memiliki kereta Myvi baharu dengan warna tersebut mulai bulan Ogos yang akan datang.

Berikut ialah senarai harga Perodua Myvi 2011 Standard dan Premium -

1) Standard 1.3 SX (M) Solid – RM43,900.00
2) Standard 1.3 SX (M) Metalik – RM44,400.00
3) Standard 1.3 SX (M) Pearl White – RM44,800.00
4) Standard 1.3 EZ (A) Solid – RM46,900.00
5) Standard 1.3 EZ (A) Metalik – RM47,400.00
6) Standard 1.3 EZ (A) Pearl White – RM47,800.00
7) Premium 1.3 SXi (M) Solid – RM46,900.00
8 ) Premium 1.3 SXi (M) Metalik – RM47,400.00
9) Premium 1.3 SXi (M) Pearl White – RM47,800.00
10) Premium 1.3 EZi (A) Solid – RM49,900.00
11) Premium 1.3 EZi (A) Metalik – RM50,400.00
12) Premium 1.3 EZi (A) Pearl White – RM50,800.00

Sumber : http://www.arenakereta.com

No comments:

Post a Comment